Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, enggan mengulas segala spekulasi yang mengaitkannya untuk meninggalkan badan penganjur itu.

Dalam satu sebaran media hari ini, Stuart turut mengakui bahawa dia masih kekal komited bersama badan itu sehingga ada satu keputusan muktamad mengenai kontraknya, yang akan tamat pada penghujung bulan depan.

"Kepada rakan media, ramai yang kini menghubungi saya berkenaan spekulasi terbaru mengenai posisi saya.

"Apa yang saya boleh katakan ketika ini, saya masih komited dengan MFL dan perbincangan mengenai kontrak saya yang akan tamat pada penghujung Ogos ini masih berjalan.

"Sila ambil maklum bahawa sebarang pengumuman rasmi hanya akan dilakukan pada waktunya dan buat masa ini, saya masih komited dengan peranan saya," katanya.