Sabah, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk melepaskan penyerang import dari Brazil, Ramon Machado, secara persetujuan bersama.

Menurut pengurus besar kelab itu, Md Joh Wid, keputusan itu dilakukan selepas Ramon memohon untuk menamatkan kontraknya lebih awal berbanding tarikh akhir pada 30 April tahun depan atas sebab-sebab tertentu.

Selepas perbincangan bersama pihak pengurusan tertinggi, kelab itu bersetuju untuk melepaskan pemain itu secara persetujuan bersama.

Md Joh, dalam kenyataan itu, berkata: "Dengan berat hati secara rasminya saya memaklumkan bahawa pemain penyerang, Ramon Machado, akan menamatkan kontrak bersama Sabah FC.

"Ramon telah menemui saya dan mengemukakan sebab-sebab dia memohon untuk menamatkan kontrak.

"Setelah berbincang dan meneliti dengan mendalam bersama pengurusan tertinggi kelab, kami telah bersetuju untuk menerima permohonan tersebut.

"Ini bermakna kontrak Ramon, yang sepatutnya berakhir pada 30 April 2025, akan tamat berkuat-kuasa 7 Julai 2024 atas persetujuan bersama."