Australia memulakan misi memburu kejuaraan Piala Asia dengan menyusun permainan lebih kemas dalam separuh masa kedua untuk menghasilkan kemenangan 2-0 ke atas India menerusi sentuhan penyudah Jackson Irvine dan Jordan Bos, malam tadi.

Juara 2015 itu berhasrat untuk merampas semulaa kejuaraan di Qatar itu dan menghadapi ujian awal ketika menentang lawan yang degil di sebalik sokongan padu penyokong di Stadium Ahmad bin Ali.

Australia mendominasi perlawanan Kumpulan B itu tetapi bergelut untuk merobohkan benteng India sebelum detik penjaga gol, Gurpreet Singh Sandhu, gagal mematahkan hantaran lintang Martin Boyle lima minit selepas rehat untuk diterpa Irvine.

Bos yang baru seminit digantikan kemudian menyempurnakan hantaran lintang rendah Riley McGree untuk menggandakan kedudukan mereka pada minit ke-73.

“Kami masih berkesempatan memperbaiki segala-galanya dan pemain menyedarinya,” kata ketua jurulatih Australia, Graham Arnold.

"Kami mempunyai standard yang ditetapkan dan saya meletakkan harapan tinggi terhadap pemain dan prestasi. Jadi jangkaan serta standard ini perlu dipenuhi."

Perlawanan itu menyaksikan pengadil wanit dari Jepun, Yoshimi Yamashita, mencipta sejarah mengendalikan perlawanan Piala Asia.



Australia mendahului dua mata di puncak Kumpulan B selepas Uzbekistan dan Syria buntu tanpa jaringan.

Uzbekistan berharap untuk menjadi pencabar utama Australia tetapi mereka gagal memberikan tekanan di Stadium Jassim bin Hamad.

Syria sebaliknya hampir mendahului dalam separuh masa kedua menerusi Ibrahim Hesar tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid.

Tajikistan yang membuat penampilan sulung Piala Asia pula mengikat China 0-0 dalam Kumpulan A.

Alisher Dzhalilov hampir meletakkan Tajikistan di hadapan dalam separuh masa pertama sementara pemain China, Liu Binbin, menyelamatkan gawangnya di atas garisan sejurus rehat sementara jaringan Zhu Chenjie dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR).

Penyandang juara, Qatar, mengungguli Kumpulan A menerusi menang 3-0 ke atas Lubnan.