Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) akan menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) bagi kejohanan akan datang selepas kejayaan memperkenalkan teknologi itu dalam Kejohanan ASEAN B-16 di Solo, Indonesia baru-baru ini.

AFF selepas ini akan terus memperkenalkan VAR bagi Kejohanan ASEAN B-19 bermula 17 Julai ini dan diikuti dengan Kejohanan Kelab ASEAN, Piala Shopee 2024/25, bermula bulan depan.

Ia juga akan dipraktikkan dalam Piala ASEAN hujung tahun ini.

"AFF percaya VAR sedang membentuk semula bola sepak dan telah menjadi salah satu blok bangunan paling penting yang akan meningkatkan persaingan ke tahap yang berbeza,” kata Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth.

“Penggunaan teknologi ini dalam Kejohanan ASEAN B-16 di Solo, Indonesia adalah selaras dengan usaha AFF yang dirancang dan berterusan untuk memartabatkan pertandingan kami, termasuk memberikan sokongan terbaik kepada pengadil untuk membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat, konsisten dan bermaklumat.

“Saya mewakili Majlis AFF menyampaikan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada FIFA, AFC, Encik Erick Thohir dan rakan-rakannya di PSSI atas bantuan besar yang diberikan dalam pelaksanaan VAR dalam Kejohanan B-16 ASEAN 2024," katanya.