Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, ditunjukkan jalan keluar dari Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2025 oleh lawan dari Taiwan, Ming Chu Lu-Hung En-Tzu, sebentar tadi.

Begitupun, wakil muda negara itu memberikan aksi terbaiknya dalam cabaran pusingan ke-32 itu dengan mereka tewas dalam aksi rubber set, 26-28,21-14,22-24, di Axiata Arena, sebentar tadi.

Wakil negara berpeluang menamatkan aksi set pertama dengan lebih awal apabila mendahului dengan selesa 18-12, namun pasukan lawan kembali merapatkan jurang untuk mengikat Pang Ron-Su Yin 21-21 sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 28-26.





Namun, Pang Ron-Su Yin kembali memperkemaskan corak permainan mereka dalam set kedua dengan kemenangan 21-14 untuk mengheret Ming Chu Lu-Hung En-Tzu membuat perhitungan di set penentuan.

Kedua-dua pasukan tidak mahu ketinggalan dengan jurang yang jauh dalam set penentuan dengan mereka saling berkejaran mara, tetapi wakil negara yang kini menghuni tangga ke-11 dunia itu terpaksa akur apabila tewas 22-24.