Pemain beregu lelaki nombor satu Malaysia, Aaron Chia, menghembus nafas lega selepas mengakui rakan seperjuangannya, Soh Wooi Yik, telah kembali ke prestasi sebenar usai kecederaan yang menimpanya, sebelum ini.

"Semuanya berjalan lancar. Gembira dapat kembali ke gelanggang selepas Wooi Yik pulih daripada kecederaan.

"Misi seterusnya adalah teruskan konsistensi menjelang dua lagi siri kejohanan terakhir," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu.

Tan Bin Shen selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara turut gembira dengan kejayaan anak buahnya menjuarai Masters Korea semalam, sambil berharap mereka mengekalkan momentum berbaki dua kejohanan tahun ini, Masters Jepun dan China.

"Paling penting ialah mereka berjaya mendapatkan semula rentak permainan selepas sekian lama. Saya harap mereka kekalkan momentum tetapi masih perlu memperbaiki kelemahan yang perlu ditutup," ujarnya.

Di samping itu, Olimpian negara, Koo Kien Keat, berpendapat Man Wei Chong-Tee Kai Wun berpeluang mengesahkan diri dalam kelompok ranking lapan dunia.