BARCELONA 2 ALAVES 1

Robert Lewandowski muncul penyelamat Barcelona ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Alaves 2-1 dalam perlawanan LaLiga di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Poland berusia 35 tahun itu menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-53 selepas pasukan juara bertahan itu ketinggalan seawal 18 saat pertama gara-gara jaringan Samu Omorodion buat Alaves.

Dia kemudian memastikan tiga mata penting buat Barca apabila menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-78.

Kemenangan itu setidak-tidaknya mengembalikan rentak kemenangan Blaugrana selepas tewas kepada Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Rabu lalu.

Untuk rekod, Barca kini menduduki tangga ketiga LaLiga dengan 30 mata, dua mata di belakang seteru tradisi, Real Madrid, dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Girona.