Bruno Fernandes menjaringkan dua gol di penghujung permainan ketika Portugal menang 3-0 ke atas Bosnia dan Herzegovina awal pagi tadi untuk mengekalkan rekod sempurna mereka dalam kelayakan Euro 2024.

Bernardo Silva membuka jaringan sejurus sebelum rehat di Estadio da Luz di Lisbon, dan bintang Manchester United, Fernandes, menanduk masuk gol kedua ketika berbaki 13 minit.

Dia kemudian mendapat gol kedua dan ketiga Portugal dalam masa kecederaan; Portugal kini telah menjaringkan 13 gol dan tidak dibolosi semasa memenangi tiga perlawanan pembukaan mereka dalam Kumpulan J.

Hasilnya, mereka menduduki tangga teratas bahagian enam pasukan, dua mata di depan Slovakia dan lima di atas Luxembourg, dengan dua pasukan teratas mara ke pusingan akhir tahun depan di Jerman.

Skuad Portugal bimbingan Roberto Martinez melawat Iceland pada hari Selasa, apabila satu lagi kemenangan akan membawa pemenang Euro 2016 itu selangkah lebih dekat untuk memastikan kelayakan.

Cristiano Ronaldo memakai lilitan kapten dan bermain sepanjang 90 minit ketika pemegang rekod penampilan antarabangsa lelaki berusia 38 tahun itu memenangi kap ke-199.

Bagaimanapun, penyerang yang kini bermain untuk Al Nassr di Arab Saudi tidak berjaya menambah rekod 122 gol antarabangsanya -- dia menemui jaringan dengan tandukan pada pertengahan separuh masa pertama hanya dinafikan oleh bendera ofsaid.

Sebaliknya, Silva, yang membantu Manchester City memenangi Liga Juara-Juara hujung minggu lalu, membuka jaringan seminit sebelum rehat.

Bosnia, dengan Edin Dzeko yang berusia 37 tahun mendahului serangan mereka, gagal mendapatkan gol penyamaan dan Portugal menjaringkan gol sekali lagi pada minit ke-77 ketika Fernandes menanduk masuk gol daripada hantaran lintang Ruben Neves.

Fernandes kemudian mengesahkan kemenangan Portugal apabila dia tenang mengawal sebelum melepaskan rembatan menembusi gawang.