Kemenangan 4-0 juara Liga Super Malaysia 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), berdepan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) merupakan penanda aras baharu kelab tersebut selepas merekodkan pencapaian yang menakjubkan musim ini.

Juara Piala FA 2024 itu sekali lagi mencipta sejarah apabila mencatatkan 29 kemenangan tanpa henti di laman sendiri mengatasi kejayaan lalu.

JDT menerusi kenyataan di laman Facebook kelab itu, memaklumkan bahawa kejayaan tersebut sekali gus memecahkan rekod sendiri yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 19 Julai 2019, iaitu kemenangan berterusan paling banyak sebanyak 28 perlawanan.



Terdahulu, skuad kendalian Hector Bidoglio itu juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara yang berjaya menerima sijil pengiktirafan MBOR selepas menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.