Pep Guardiola mengesahkan bahawa Kevin De Bruyne perlu berehat selama beberapa bulan selepas mengalami kecederaan paha dengan Manchester City kini perlu membuat keputusan sama ada pemain itu akan menjalani pembedahan atau tidak.

Perancang berusia 32 tahun itu terpaksa dikeluarkan dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Inter Milan pada Jun lalu dan tidak beraksi dalam sebarang perlawanan pramusim.

Dia kembali diturunkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua penentuan Perisai Komuniti menentang Arsenal dan mengetuai pasukan itu sewaktu menentang Burnley dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.

Bagaimanapun, De Bruyne hanya bertahan selama 23 minit di Turf Moor, di mana dia secara tiba-tiba memberikan isyarat untuk dikeluarkan.

Guardiola berkata ia merupakan kecederaan hamstring yang sama dan akan merehatkan perancang utamanya itu untuk beberapa bulan, termasuk merelakan pemain itu menjalani pembedahan.

"Ia satu kecederaan yang serius," kata pengurus City berkenaan.

"Kami perlu membuat keputusan sama ada dia akan menjalani pembedahan atau tidak tetapi dia akan berehat beberapa bulan."

Guardiola menambah keputusan itu akan ditentukan dalam beberapa hari ini dan De Bruyne mungkin akan terpaksa berehat selama tiga hingga empat bulan.