Liverpool terus menjarakkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 2-0 yang mantap ke atas Aston Villa di Anfield dengan Caoimhin Kelleher mencatatkan "clean sheet" kedua berturut-turut semasa ketiadaan Alisson Becker.


Gandingan Darwin Nunez dan Mohamed Salah berjaya memberi kelebihan buat The Reds yang kini memperkukuh cengkaman di puncak EPL dengan kelebihan lima mata. Kemenangan ini juga merekodkan Liverpool kepada 15 kemenangan dalam 17 perlawanan di bawah bimbingan Slot.


Pengendali berusia 46 tahun itu memuji ketangkasan Kelleher yang beraksi luar biasa di antara tiang gol, namun beliau menegaskan bahawa peranan sebagai penjaga gol utama tetap milik Alisson.

Slot juga ingatkan para peminat agar jangan terlalu ghairah dan sedar Liverpool perlu terus kekal konsisten dengan persaingan sengit daripada Manchester City, Arsenal, dan Chelsea.


"Alisson masih penjaga gol utama kami jika dia cergas sepenuhnya. Itu pendirian kami daripada dulu lagi.

"Namun, Kelleher tetap cemerlang dan sebagai pilihan kedua, dia sentiasa menunjukkan prestasi hebat musim lalu dan musim ini juga.

"Setiap minggu adalah penting jika kami perlu bersaing untuk sesuatu. Kami bukan saja fokus pada liga tapi juga Liga Juara-Juara Eropah dan piala-piala lain. Musim ini panjang dan kita kena kekal di tahap terbaik.

"Bukan mudah, tapi kita akan berjuang habis-habisan!"