Selepas pengumuman ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baru, Peter Cklamovski, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend, giliran Dr. Craig Duncan menjadi pilihan sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya.

Dr. Craig merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana dia turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.

Selain itu, Dr. Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini tatkala memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman daripada University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.

Berdasarkan pengalaman luas dan kepakarannya dalam bidang prestasi manusia, tugas Dr. Craig di Persatuan Bolasepak Malaya (FAM) sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan adalah bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi; kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan; pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.



Sebagai salah seorang saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan Dr. Craig yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain telah membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka.

Dr. Craig bekerja dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, dengan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.