Kontinjen negara akan menyarung pakaian berinspirasikan baju Melayu yang dihasilkan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini, dalam perarakan majlis perasmian Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai ini.

Memetik laporan The Star, perkara itu disahkan oleh Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini.

Jelasnya, pakaian itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Ia akan bertemakan baju Melayu dan akan menjadi (konsep) tradisional. Kami telah memuktamadkan reka bentuk dan akan menunjukkannya kepada umum tidak lama lagi,” katanya semasa sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Rizman Ruzaini, baru-baru ini, menempa sejarah dalam industri fesyen tanah air apabila busana rekaan mereka disarung penyanyi terkenal, Lady Gaga, ketika mengadakan persembahan residensi di Las Vegas.

Sebelum ini, pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang dirancang akan dipakai dalam Sukan Olimpik Paris 2024 menerima kritikan daripada banyak pihak.

Susulan kritikan itu, MOM tampil memperkenalkan rekaan baru dengan corak belang harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi itu.

--Astro Awani