Juara gimnastik Olimpik Tokyo, Daiki Hashimoto hampir membuat keputusan untuk 'angkat kaki' daripada kariernya selepas terpaksa mengharungi gangguan emosi selama berbulan-bulan.

Kecederaan pada Mei lalu memaksanya untuk menarik diri daripada kejohanan NHK Trophy yang sepatutnya menjadi medan persiapan menjelang Olimpik Paris.

Meskipun masih dalam proses pemulihan, Hashimoto tetap menyertai atlet Olimpik lain di kem latihan pasukan sambil tertanya-tanya, mampukah dirinya mengetuai pasukan negaranya untuk memburu pingat emas yang diharapkan.

"Sejujurnya, saya mula hilang keyakinan dan tidak dapat membayangkan bagaimana saya mampu memenangi emas itu," katanya.

Walau bagaimanapun, keraguan itu seakan pudar selepas dirinya melangkah masuk ke Arena Bercy Paris sambil diiringi lambaian peminat yang tidak henti memberikan sokongan.

"Saya sering kali mendengar hasrat rakan sepasukan yang tekad mahu memburu emas acara ini, ia sekaligus menguatkan hati saya untuk berjuang habis-habisan untuk mereka," katanya.

Di hari perlawanan, aksi bermula agak sengit sambil kedua negara masing-masing saling mengejar mata.

Namun, peluang tampak terbuka selepas atlet China, Su Weide dua kali gagal membuat pendaratan sempurna daripada palang yang sekaligus memberikan ruang untuk Jepun mencuri mata.

Persembahan memukau dipamerkan Hashimoto dengan kutipan mata tinggi 14.566 menjadikan jumlah mata terkumpul 259.594 buat kontinjen Jepun, meletakkan China di tempat kedua keseluruhan.

Tangisan kegembiraan menyelubungi Arena Bercy Paris sambil menyaksikan pelukan daripada pasukan Jepun yang akhirnya berjaya 'mencuri' emas daripada tembok besar China.