"Satu kesilapan jika terlalu hormati mereka."Demikian tegas ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas, apabila ditanya mengenai persiapan menghadapi pasukan yang penuh dengan bintang seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2023.

Menjelang pertemuan pertama separuh akir di Stadium Tertutup Sukpa, malam esok, Casas mengakui pelawat dalam kelas tersendiri selepas menundukkan Sabah 21-0 secara agregat di peringkat terdahulu tatkala Pahang Rangers terpaksa berhempas-ulas ketika menang 4-3 ke atas lawan yang sama sebelum ini.

Namun, Casas tetap optimis yang pasukannya mampu melakar kemenangan sekali gus dinobat juara MPFL buat kali pertama.

"Kami harus menghormati JDT.

"Mereka adalah barisan berbakat yang mempunyai kemahiran menarik.

"Kami tidak akan rugi apa-apa dan tidak di bawah tekanan jadi kami tidak boleh menjadi hilang arah.




"Oleh itu, kami perlu menjadi diri sendiri dan tidak perlu ubah corak permainan yang diterapkan sepanjang musim ini.

"Kami cuma perlu mendominasi dan menjadi lebih baik. Andai pihak lawan beraksi lebih baik, tidak mengapalah.




"Tetapi saya fikir ia akan menjadi satu kesilapan besar sekiranya kami terlalu menghormati mereka.

"Persiapan kami sentiasa berasaskan mentaliti kemenangan, cuba beroleh keyakinan dan menjadi lebih baik di atas padang.

"Semua pemain saya boleh berjuang dan pemain yang bagus, saya memiliki keyakinan terhadap mereka semua.

"Sesiapa yang berpihak kepada saya akan berasa yakin dan mantap," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.