Penjaga gol Manchester City, Ederson, tampaknya akan terlepas pertembungan penting menentang Arsenal akhir bulan ini berikutan kecederaan paha yang menimpanya di Liverpool.

Agensi berita PA difahamkan pemain Brazil itu berdepan tersisih tiga hingga empat minggu selepas terpaksa dikeluarkan ketika mereka seri 1-1 di Anfield, Ahad lalu, selepas berlaga dengan Darwin Nunez dan melepaskan sepakan penalti.

Ederson kekal di padang untuk sepakan penalti yang disempurnakan Alexis Mac Allister itu bagi membatalkan gol pembukaan John Stones, namun perlu digantikan tidak lama kemudian.

City -- yang ketinggalan satu mata di belakang pendahulu bersama, Arsenal dan Liverpool -- dijadual berdepan The Gunners dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya dalam masa kurang tiga minggu lagi.





Dia juga mungkin diketepikan untuk kunjungan ke Aston Villa di pertengahan minggu berikutnya.

Pilihan nombor dua, Stefan Ortega, dijangka mengisi kekosongan di bahagian gawang untuk aksi suku akhir Piala FA menentang Newcastle, hujung minggu ini, manakala kecederaan itu juga akan menyebabkan Ederson tidak dapat diturunkan untuk perlawanan persahabatan di antara Brazil dan England di Wembley pada 23 Mac ini.