Tunggakan gaji selama tujuh bulan membawa kepada tindak balas negatif oleh barisan pemain kelab Liga A1 Semi-Pro, Putrajaya Antlers.

Difahamkan sejak tiga minggu lalu, tiada sesi latihan yang dijalankan di Stadium MMU, Cyberjaya, yang menjadi pangkalan latihan mereka.

Situasi bertambah parah apabila ada pemain import sudah membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dua minggu lalu.

"Kami mendapat makluman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM pun) sewaktu FIFA menghantar notis untuk mendapatkan maklumat mengenai pasukan ini.

"Kami sudah menghantar maklum balas tersebut kepada mereka menerusi FAM.

"Proses seterusnya yang dilakukan badan induk itu adalah akan menghantar surat tunjuk sebab kepada pasukan itu," jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri.






Kebimbangan kem pasukan itu kian memuncak tatkala Putrajaya Antlers bakal mengisi slot ke Piala Malaysia musim ini.

Jika diputuskan untuk beraksi di luar semenanjung negara, keadaan kewangan pasti mengganggu persiapan pasukan yang turut dibarisi nama besar seperti Indra Putra Mahayuddin serta Amri Yahyah.

"Putrajaya Antlers dan Kuala Lumpur Rovers masih bahagian (daripada peserta Piala Malaysia). Bagi saya, Piala Malaysia adalah sebuah medan yang besar buat setiap pasukan.

"Sudah tentu kami berharap pasukan ini dapat menyelesaikan masalah tersebut sebelum kejohanan itu bermula bagi mengelakkan pelbagai isu berlaku," tambahnya.