Pertahanan Manchester City, Kyle Walker, memuji pengadil, Michael Oliver, kerana tidak mudah goyah dengan bahang suasana di Anfield dan ketika tidak memberikan sepakan penalti kepada Liverpool pada saat-saat akhir perlawanan. semalam.

Sepakan setinggi dada oleh Jeremy Doku ketika cuba mengeluarkan bola dalam keputusan seri 1-1 menyaksikan dia mengasari pemain tengah The Reds, Alexis Mac Allister, tetapi Oliver tidak melihat sebarang kekasaran dan video bantuan pengadil (VAR) kemudian memutuskan ia adalah satu perlanggaran biasa.

Jurgen Klopp menyifatkan ia sebagai sepatutnya satu sepakan penalti untuk semua pemain bola sepak di planet ini.

Bagaimanapun, Walker memuji perwatakan dan pengalaman Oliver dalam berdepan tekanan.

“Saya rasa pengadil telah bertindak dengan sangat baik. Sebaik sahaja anda mempunyai penyokong Anfield yang memberi sorakan padu, dia mungkin akan goyah,” katanya kepada Sky Sports.


“Tetapi dia membuktikan pengalamannya, menunjukkan perwatakannya dan itulah sebabnya dia dianggap sebagai antara pengadil terbaik di negara ini dan dunia pada saat ini.

“VAR telah menyemaknya, pengadil telah mengambil pendekatan itu. Demikian sahaja yang mahu saya katakan.”