Pertahanan berpengalaman Kuala Lumpur (KL) Rovers, Mohd Amer Saidin, berpandangan situasi yang dihadapi pasukannya ketika ini adalah detik paling sukar sepanjang karier bolasepak profesionalnya.

Malah, pemain berusia 33 tahun itu tidak menolak kemungkinan dia dan rakan sepasukan akan membuat aduan rasmi kepada pihak sepatutnya jika masih tidak ada jalan penyelesaian.

Terdahulu, pengendali KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail, telah mengemukakan aduan berkaitan isu gaji yang dihadapinya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Amateur Football League (AFL) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

"Kami sedang berbincang satu sama lain, masih bersabar dan beri masa untuk mereka selesaikan masalah ini. Tujuh bulan bukan singkat, masing-masing ada keluarga sendiri.






"Saya sendiri perlu keluarkan wang simpanan, jual barangan yang kami sayang dan semestinya terpaksa meminjam untuk meneruskan hidup. Keadaan sekarang hanya bermain bola sepak untuk diri sendiri.

"Ada pemain yang terpaksa buat dua kerja, ada yang hantar isteri pulang ke kampung dan dipaksa keluar rumah. Saya maklumkan kepada mereka agar hadir latihan dan perlawanan untuk diri sendiri. Mungkin tahun ini ujian, tahun depan ada rezeki," katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi pemain KL Rovers, Muhammad Faiz Mazlan, mengakui tidak pernah menyangka bakal berdepan situasi sebegini.

Tonggak utama berusia 27 tahun itu percaya para pemain sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dan berharap pihak pengurusan juga melakukan hal yang sama.







"Ini pertama kali dalam karier saya tidak menerima sebarang pendapatan dalam tujuh bulan, jika ditanya pelbagai barangan sudah digadai.

"Cuma kami sebagai pasukan masih menanti pendapatan kami. Kami masih tunaikan tanggungjawab kami datang berlatih dan kami harap mereka juga dapat melakukan perkara sama." tambahnya.