Selepas mencuri tumpuan dalam aksi final 100 meter beberapa hari lalu, jaguh pecut remaja Australia, Gout Gout sekali lagi melakarkan kejutan apabila dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan negara itu yang berusia lebih 50 tahun dalam acara 200 meter.

Remaja berusia 16 tahun itu mencatatkan masa 20.04 saat untuk muncul selaku juara pada acara berkenaan bersempena dengan Kejohanan Olahraga Sekolah Seluruh Australia 2024 yang berlangsung di Brisbane.

Rekod kebangsaan negara itu sebelum ini dilakar oleh Peter Norman pada Sukan Olimpik 1968 dengan catatan 20.06 saat.

Kejayaan oleh Gout itu dianggap sangat luar biasa dengan rata-rata pemerhati sukan olahraga melihat potensinya mampu mengatasi Usain Bolt satu hari nanti.

Gout kini turut memegang rekod kedua terpantas sepanjang zaman untuk atlet bawah 18 tahun dengan memadamkan catatan 20.13s milik Bolt.