Bekas pemain hoki kebangsaan I Vikneswaran, menyarankan semua pihak agar kekal bersabar dengan skuad negara selepas prestasi mengecewakan dalam Trofi Juara-Juara Asia (ACT), China.

Skuad The Speedy Tigers hanya mampu merekodkan satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan untuk menamatkan kempen di tempat keenam -- pencapaian paling merosot sejak mula bersaing pada 2011.

Dalam edisi lalu, skuad hoki menamatkan saingan selaku naib juara selepas tewas kepada India 4-3 dalam perlawanan akhir.

"Saya percaya percaturan Sarjit pada kali ini ialah hendak menguji pemain dan memberikan mereka peluang dengan sasaran utamanya adalah Sukan Asia 2026.

"Jadi ini merupakan peringkat asas.

"Walaupun menyertai pertandingan dengan tujuan untuk menguji pemain, pastinya tiada jurulatih yang mahu kalah.

"Saya pasti mereka pergi bukan sambil lewa. Pemain harus diberikan peluang.

"(Menilai adakah) pemain mampu menangani tekanan yang dihadapi. Mungkin ia merupakan kelemahan pasukan dan gol dijaringkan dalam situasi itu.

"Jadi di sini pastinya jurulatih dapat menilai untuk kebaikan masa depan.

"Kadang-kadang hikmahnya bukan daripada kemenangan sahaja, dalam kekalahan juga mereka boleh banyak belajar.

"Mereka perlu banyak bersabar dan menganalisa apa yang harus dilakukan," katanya.