ESTEGHLAL 0 AL-NASSR 1

Tandukan lewat permainan Aymeric Laporte memberikan Al-Nassr kemenangan 1-0 ke atas kelab Iran, Esteghlal, dalam saingan Liga Barat, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) awal pagi tadi.

Selepas tiga perlawanan, ketiga-tiga wakil Arab Saudi masih belum kalah, di mana Al-Hilal dan Al-Ahli menduduki dua tempat teratas dan menjadi hanya dua pasukan mengumpulkan sembilan mata maksimum manakala Al-Nassr pula di tangga keempat dengan perbezaan hanya dua mata.

Perlawanan itu terpaksa dipindahkan dari Tehran ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan situasi keselamatan di Iran.

Peluang kelihatan sukar dihasilkan sehingga ke penghujung permainan. Cristiano Ronaldo, yang dua percubaannya diselamatkan dan satu lagi tersasar dari gawang lawan, menanduk bola menuju ke penjuru atas tetapi ia sekali lagi ditepis penjaga gol, Hossein Hosseini, namun bekas pertahanan Manchester City, Laporte, memanfaatkan bola muntah daripada situasi itu untuk menanduk masuk gol kemenangan pelawat pada sembilan minit terakhir.