Carlo Ancelotti menuntut kebangkitan daripada pemain Real Madrid menjelang perlawanan LaLiga berdepan Osasuna hari ini selepas pasukannya ditewaskan 1-3 AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Rabu lalu.

Pengendali berusia 65 tahun itu terpaksa akur selepas pasukannya ditewaskan di laman sendiri oleh gergasi Serie A itu yang mempertaruhkan Malick Thiaw, Alvaro Morata dan Tijjani Reijnders sebagai sasaran utama pasukan pelawat.

Keputusan itu menyusuli selepas pasukannya dimalukan 0-4 dalam aksi El Clasico dengan Real Madrid tewas dua kali berturut-turut di laman sendiri buat kali pertama sejak Ancelotti menjadi jurulatih Los Blancos.




Madrid sudah meraih sembilan mata di belakang pasukan Hansi Flick yang berada di puncak liga dengan Real Madrid kekurangan satu perlawanan apabila aksi berdepan Valencia terpaksa ditangguhkan sebelum ini susulan banjir kilat.

"Kami melihat hari esok (hari ini) sebagai peluang terbaik untuk kembali melakukan perkara yang betul... pada masa ini, yang jelas sukar. Kami mempunyai peluang untuk kembali ke tahap terbaik kami.

"Kami telah menganalisis keadaaan, kami fikir kami telah menemui penyelesaiannya. Saya melihat pasukan bermotivasi, bersatu dan sedar.

"Tetapi kami perlu menunggu sehingga esok untuk melihat sama ada kami bertindak dengan cara yang betul mahupun sebaliknya." katanya.