Wout Weghorst menyertai kelab gergasi Turki, Besiktas, secara pinjaman semusim selepas hanya enam bulan menyertai Burnley, yang tersingkir ke Liga Kejuaraan musim ini.

Penyerang itu, yang menjaringkan tiga gol daripada 14 penampilan antarabangsa bersama Belanda, menyertai Burnley daripada Wolfsburg dengan perpindahan bernilai £12 juta (RM63.34 juta) pada Januari lalu, dalam usaha The Clarets mengelakkan penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Usaha itu, bagaimanapun, berakhir dengan kegagalan, di mana Weghorst hanya dapat menjaringkan dua gol daripada 20 penampilan bersama kelab berkenaan.

Ketika legenda Manchester City, Vincent Kompany, berharap dapat segera membawa Burnley ke EPL, dia perlu melakukan perkara itu tanpa khidmat Weghorst, yang akan menyertai Besiktas selepas kelab itu menamatkan Liga Super Turki di tempat keenam musim lalu.