BACKA TOPOLA 0 WEST HAM 1

Tomas Soucek sekali lagi menjadi "hero saat akhir" West Ham apabila menjaringkan gol seminit sebelum tamat yang beri laluan buat pasukannya untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

The Hammers kini perlu menggunakan tempoh dua minggu ini untuk memberi fokus sepenuhnya bagi persiapan rapi menjelang perlawanan terakhir menentang Freiburg di Stadium London.

Ini untuk memastikan mereka mengungguli kumpulan A, sekali gus mengelak daripada terjerumus dalam perlawanan play-off ke pusingan 16 pada Februari depan.

Bukan hanya semangat juang barisan pemain yang menjadi punca kemenangan, ia juga dibantu kehadiran kira-kira 320 penyokong tegar West Ham, yang hadir meredah perjalanan sejauh lebih 2,000 batu.

Meskipun tanpa kehadiran penyerang, Jarrod Bowen dan Michail Antonio, ekoran kecederaan, pemain ke-12 West Ham pastinya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan.

Terdahulu, Backa Topola mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas pendahulu Liga Super Serbia, Partizan, pada hujung minggu lalu dan mereka memulakan perlawanan kali ini dengan keyakinan tinggi menerusi percubaan Uros Milovanovic yang memaksa penjaga gawang, Lukasz Fabianski, bekerja keras.

Pemain sayap kiri, Said Benrahma, yang membuat penampilan ke-150 bersama The Hammers, berhempas pulas untuk memberi tekanan kepada tuan rumah dengan percubaan tepat pertama selepas setengah jam perlawanan.

Setelah melihat corak permainan yang lesu dan tiada impak berkesan, pengurus West Ham,, David Moyes mengambil langkah untuk menukar beberapa pemain dengan mengeluarkan Benrahma dan Divin Mubama.

Seperti mendapat suntikan semangat baru, West Ham memecahkan kebuntuan apabila Maxwel Cornet membuat hantaran silang dari sebelah kiri kepada Soucek untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.