FRANKFURT 0 NAPOLI 2

Luciano Spalletti memberi amaran kepada Napoli supaya tidak memikirkan bahawa mereka telah melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) walaupun mendominasi Eintracht Frankfurt.


Pendahulu Serie A itu mengecapi kemenangan 2-0 di Deutsche Bank Park, awal pagi tadi, hasil sumbangan gol Victor Osimhen dan Giovanni di Lorenzo ke atas seteru berkenaan yang pincang kehilangan Randal Kolo Muani akibat dibuang padang dalam separuh masa kedua.

Napoli yang tidak pernah layak ke UCL sejak lapan tahun lalu sebaliknya kini dalam penguasaan menjelang aksi timbal balik di Naples pada 16 Mac depan.

Lantaran itu, Spalletti tidak rela melihat anak buahnya mengendurkan semangat atas kejayaan awal berkenaan, sambil dia menegaskan masih tiada apa-apa yang dicapai oleh mereka.

Ditanya sama ada Napoli dan Real Madrid -- yang membelasah Liverpool 5-2 di Anfield dalam satu lagi perlawanan awal pagi tadi -- mengenai pasukan yang layak diangkat selaku pilihan musim ini, Spalletti menjawab: "Adakah kami mampu mengulanginya (prestasi hebat sebegini)?



"Kami perlu, mari kita lihat adakah kami berada di landasan yang tepat, tetap dalam kawalan dan kami tidak boleh fikir bahawa kami telah pun mara."

Apa pun, sepakan penalti Khvicha Kvaratskhelia yang diselamatkan penjaga gol, Kevin Trapp, empat minit sebelum jaringan Osimhen menyusul merupakan kegagalan berterusan Napoli di pentas UCL ketika ini.