Sergio Ramos mengakui daya tarikan Liga Juara-Juara (UCL) telah menggamitkannya untuk kembali menyertai Sevilla sambil berharap kelab LaLiga itu mampu meraih kemenangan di Arsenal tanpa kehadirannya.

Pemain berusia 37 tahun itu memenangi empat kali trofi terulung di pentas Eropah sepanjang bersama Real Madrid, namun kembali berpindah ke kelab akademinya itu selepas tamat tempoh perkhidmatannya Paris St Germain (PSG).

Begitupun, bekas pertahanan tengah Sepanyol itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan betis dan akan terlepas pertembungan penting Kumpulan B menentang Arsenal, awal pagi esok, sekali gus terlepas peluang untuk membantu mereka mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati UCL dengan dua perlawanan masih bersisa.

Ramos sudah pasti terdesak untuk beraksi dalam perlawanan tersebut dan membantu mengekalkan cita-cita Sevilla apabila berikrar untuk menjulang mereka sesudah 18 tahun berkelana.

“Saya sempat menerima tawaran untuk ke luar negara seperti Arab Saudi misalnya -- tetapi ini adalah hutang saya kepada Sevilla, pasukan pertama di mana saya mengecapi kemenangan,” katanya.

“Ini juga merupakan hutang peribadi saya terhadap keluarga, ibu bapa, datuk serta nenek saya -- ia sangat emosional, mempunyai semangat yang sangat kuat buat saya. Ini adalah satu keputusan yang sangat peribadi, keputusan yang dibuat dengan hati yang tulus.

“UCL adalah sesuatu yang semua orang tahu maksudnya, lebih-lebih lagi secara peribadi kepada saya kerana setia keputusan dalam pertandingan ini adalah penting.

“Sevilla beraksi dalam UCL dan ia menjadi azimat dalam membuat keputusan ini.

“Arsenal adalah pasukan dengan gabungan pemain muda selain memiliki gaya permainan yang jelas. Mereka tahu cara corak permainan yang dihajati dan kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat getir.





“Menang? Kita tahu bahawa Arsenal adalah pasukan yang hebat tetapi sudah tentu, kami akan bertandang ke sana dengan harapan untuk membawa pulang tiga mata.

"Kami tahu betapa sukarnya tetapi kami serius untuk menang jadi kami perlu pastikan mereka tidak mempunyai banyak peluang sementara kami memanfaatkan peluang yang ada."