FC COPENHAGEN 1 MANCHESTER CITY 3

Pep Guardiola perlu membayar harga tinggi sewaktu menewaskan FC Copenhagen 3-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parken awal pagi tadi.

Ini kerana kecederaan yang dialami Jack Grealish dan Bernardo Silva dalam perlawanan itu.

Grealish, yang turun sebagai kesebelasan utama buat kali pertama selepas enam perlawanan, hanya dapat bertahan selama 21 minit buat pasukan juara bertahan itu sebelum terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan kelangkang.

Silva, yang meletakkan City kembali di depan 2-1 menerusi penyudah lambungan gemilangnya sebelum ke bilik persalinan, pula mengalami kececederaan buku lali pada penghujung permainan.

Dua kecederaan terbaru itu tiba selepas mereka tidak dapat menurunkann Josko Gvardial kerana kecederaan buku lali dan Mateo Kovacic juga masih belum boleh beraksi.

Pengurus City, Guardiola, berkata: "Ada kecederaan otot di kelangkang Jack.

"Dia berasa sakit sewaktu di atas padang dan mula bercakap mengenainya. Pemain pasti akan segera rasa sakit jika ia kecederaan otot. Amat kasihan, dia menahannya.

"Dia mahu meneruskannya tetapi kami tidak mahu menjadikannya semakin teruk. Kami akan melakukan ujian esok.

"Bernardo pula mengalami hentakan yang kuat di buku lalinya dan Josko perlu berehat lagi tiga minggu. Kova sudah bersedia untuk kembali beraksi," katanya.

Kecederaan itu, bagaimanapun, tidak menjejaskan City untuk membawa kelebihan selesa menjelang aksi kedua di Stadium Etihad bulan depan.

Mereka membuka jaringan seawal minit ke-10 hasil penyudah Kevin De Bruyne dan mendominasi seluruh padang tetapi dikejutkan dengan gol penyamaan Magnus Mattsson gara-gara kesilapan Ederson pada minit ke-34.

Silva kemudian kembali meletakkan City di depan pada penghujung babak pertama sebelum Phil Foden memastikan City membawa kelebihan dua gol menerusi jaringannya dalam waktu kecederaan.