Pep Guardiola menegaskan keinginan untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bukanlah satu-satunya motivasinya untuk menandatangani kontrak baharu Manchester City, apa pun dia berasakan tempoh pengendaliannya di sana tidak lengkap tanpa kejayaan Eropah.

Guardiola memanjangkan kontraknya di City bulan lalu untuk mengekalkannya di kelab itu sehingga akhir musim 2024-25.

City mendominasi kancah domestik di bawah bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu apabila memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak empat kali sejak lima musim lalu.

Bagaimanapun, kemenangan UCL masih di luar jangkauan mereka sesudah tumpas kepada Chelsea dalam perlawanan akhir 2021 dan tunduk kepada Real Madrid di peringkat separuh akhir musim lalu.

Guardiola sedar ia akan menjadi mencacatkan rekodnya sekiranya City gagal menamatkan badi itu sebelum angkat kaki.

“Saya akui ia adalah trofi yang kami dambakan dan sudah tentu ia tidak akan lengkap selama tempoh saya di sini andai kami tidak memenanginya,” katanya kepada pemberita menjelang pertembungan Piala Liga Inggeris (EFL) dengan Liverpool, awal pagi esok.



"Tetapi ia bukan satu-satunya sebab saya menyambung kontrak, sama sekali tidak. Apa maknanya jika selama 11 bulan terakhir kami tidak bermain dalam UCL?

"Sudah tentu, saya akan melakukan segala-galanya sepanjang di bawah kendalian saya. Kami akan terus mencuba seperti yang kami lakukan sebelum ini. Sudah tentu ia adalah trofi yang kami belum dakap dan kami akan cuba mencapainya."

Guardiola mengumpul11 trofi di City dan pengurus berusia 51 tahun itu cukup berterima kasih atas kepercayaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan kelab.

"Saya telah katakan berulang kali sebab saya ada di sini. Terima kasih banyak atas keyakinan yang mereka berikan," katanya.

“Sukar untuk membalas semula atas apa yang telah ditunjukkan lembaga pengarah dan semua pihak dalam beberapa tahun ini.

“Sukar untuk saya menolak tawaran mereka memandangkan mereka masih menagih khidmat saya dan kakitangan saya, kami akan mencuba dan melakukan yang terbaik.

"Saya tidak mempunyai kata-kata yang cukup untuk menyatakan rasa terima kasih yang luar biasa terhadap kelab ini."

Selepas menentang Liverpool, City akan menyambung kembali mengharungi kempen EPL dengan berdepan Leeds United pada Khamis depan.