Disiplin, kerjasama dan yakin kepada kebolehan diri sendiri. Itu perkataan yang boleh diungkapkan buat kem sepak takraw wanita Sabah selepas cemerlang menggondol 3 pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma Sarawak) 2024 di Stadium Muhibbah Bintulu.

Walaupun edisi ke-21 ini rata-rata dibarisi dengan muka baru. Tetapi usaha yang dipamerkan oleh setiap pemain membuktikan mereka mampu mengekalkan pingat emas yang diraih pada edisi-edisi sebelum ini.

Kesungguhan yang ditampilkan dalam setiap perlawanan turut menjadi pemangkin semangat setiap pemain selain arahan daripada barisan kejurulatihan turut membantu dalam mengatur strategi permainan.

Coretan saya sebelum ini ada berkongsi mengenai jurulatih saya yang berasal dari negara gajah putih (Thailand). Impaknya masih lagi beri kesan positif kepada pembangunan sepak takraw negeri Sabah.

Ia sangat terbukti selepas edisi kali ini skuad lelaki turut tempah slot ke suku akhir dan juga akhir selepas beberapa edisi kandas diperingkat kumpulan.

3 pingat emas kini dalam genggaman, dan misi untuk merealisasikan 4 emas semakin menjadi kenyataan jika acara regu wanita turut membuahkan hasil.

Ayuh negeri Sabah, jangan kalah geratak!