Selangor sudah memulakan persiapan awal untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Biarpun mengaku akan berusaha keras untuk kembali menjadikan kontinjen Selangor selaku juara keseluruhan, Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Negeri Selangor, Najwan Halimi, memberi jaminan bahawa prestij dan kualiti temasya itu akan dikekalkan dengan fokus utama untuk mencari bakat baru sukan negara.

Bercakap ketika menjadi tetamu jemputan Nadi Arena hari ini, Najwan berkata: "Sejak kami mendapat makluman dan keputusan muktamad daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kami telah melakukan beberapa persiapan, terutama daripada segi gerak kerja, makluman kepada agensi-agensi kerajaan dan jabatan-jabatan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk mereka mengenal pasti venue yang bersesuaian untuk kami melaksanakan sesuatu acara sukan nanti.

"Pada masa sama, kami menilai dan melihat semula keperluan untuk menarik taraf beberapa kemudahan sukan dan fasiliti yang kami ada sebelum ini.

"Selepas berakhir Sukma Sarawak baru-baru ini, kami menetapkan gerak kerja untuk menyeleraskannya dengan Mahlis Sukan Negeri dan MSN mengenai sukan dan keperluan lain untuk menjadikan penganjuran Sukma 2026 ini sebagai edisi terbaik."

Mengenai kelebihan yang akan diperoleh kontinjen Selangor selaku tuan rumah, Najwan menambah: "Sudah tentu kami meletakkan tekad dan misi untuk menjadi juara keseluruhan.

"Kali terakhir kami menjadi juara keseluruhan ialah pada 2016, jadi selepas tempoh 10 tahun, kami mahu kembali menjadi juara.

"Semestinya kami akan mengambil manfaat selaku tuan rumah untuk memudahkan daripada segi penyusunan jadual dan sebagainya.

"Bagaimanapun, kami akan mengambil kira faktor itu selaras dengan semangat kesukanan. Kami tidak mahu kelihatan terlalu ingin memburu kejuaraan sehingga merendahkan atau meremehkan kualiti dan mutu Sukma itu sendiri," katanya.