Pemain skuasy negara, Eain Yow, menempuh jalan berliku sebelum merakamkan kemenangan bertemu wakil Amerika Syarikat , Shahjahan Khan, dalam Skuasy Terbuka Malaysia di pusat beli belah The Curve, Mutiara Damansara, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu terpaksa menunggu sehingga 52 minit dan ternyata situasi tersebut menggusarkan dirinya.

Dalam masa sama, Eain Yow sering kali bertikam lidah dengan keputusan pengadil mengakibatkan permainan terhenti seketika.

Keputusan akhir 3-0, 11-5, 11-8 dan 11-2 menggambarkan keinginannya untuk kekal beraksi cemerlang tidak kira perlu bertempur bersama pemain handalan atau sebaliknya.



"Saya keyakinan yang tinggi kerana sudah menempuh pelbagai rintangan, jadi saya tahu apa yang saya lakukan. Jika kita tidak mempunyai kepercayaan, maka kita tidak mampu untuk melakukannya.

"Saya meletakkan standard yang tinggi terhadap diri sendiri dan saya telah bermain dengan baik.

"Saya berjaya menyukarkan pihak lawan menggunakan kelebihan gelanggang, cuma saya tidak berpuas hati dengan pukulan terakhir yang sepatutnya mematikan bola," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.