Bekas pertahanan Borussia Dortmund, Mats Hummels, menyertai AS Roma secara perpindahan percuma, demikian diumumkan kelab Serie A itu awal pagi tadi.

Hummels tidak mewakili mana-mana kelab sejak dilepaskan Dortmund pada Jun lalu, selepas dia membantu kelab itu layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.

Dia mengetuai jentera pertahanan pasukan itu sepanjang kejohanan berkenaan tetapi gagal menafikan kemenangan 2-0 Real Madrid dalam penentuan gelaran di Stadium Wembley.

Secara kesluruhan, dia melakukan 508 penampilan sepanjang dua tempohnya bersama Dortmund, di mana dia memenangi dua gelaran Bundesliga dan dua kali bergelar naib juara UCL.

Hummels berkemungkinan dapat melakukan penampilan pertamanya bersama Roma apabila bertandang ke laman Genoa pada 15 September ini dan berpotensi melakukan penampilan pertama di laman sendiri ketika melayani Udinese seminggu kemudian.