Gol lewat oleh penyerang Luka Jovic menyelamatkan kemenangan 3-2 untuk AC Milan di Frosinone awal pagi tadi sekali gus membantu skuad kendalian Stefano Pioli mengekori dua pasukan teratas Serie A, Inter Milan dan Juventus.

Olivier Giroud, Matteo Gabbia dan Jovic semuanya menepati sasaran untuk pelawat, manakala Matias Soule dan Luca Mazzitelli menjaringkan gol untuk Frosinone di kedua-dua babak.

Milan di kedudukan ketiga dengan 49 mata, mengekori pendahulu Inter dengan lima mata dan di tempat kedua Juventus dengan empat mata sebelum pertembungan dua teratas bertemu di San Siro pada Isnin.

Milan kekal tidak tewas pada 2024, setelah memenangi empat perlawanan dan seri sekali.



"Pada tahun baru kami melakukan banyak perkara yang baik walaupun mengetahui kami boleh melakukan lebih baik," kata Pioli pada sidang akhbar.

"Sekarang tidak berguna untuk memikirkan masa lalu, kami menemui semula kesinambungan dan kami mahu meneruskannya."