INTER MILAN 4 SALERNITANA 0

Inter Milan melebarkan kelebihan di puncak Serie A kepada 10 mata hasil kemenangan bergaya 4-0 ke atas Salernitana di San Siro awal pagi tadi.

Inter turun dalam perlawanan itu dengan misi memburu kemenangan keenam berturut-turut dan segalanya kelihatan baik buat mereka bermula dengan jaringan Marcus Thuram dan Lautaro Martinez pada awal permainan, masing-masing pada minit ke-17 dan 19.

Denzel Dumfries kemudian memastikan tuan rumah berkelebihan selesa dengan jaringannya pada lima minit terakhir babak pertama.

Aksi dominan yang dipamerkan Inter menyaksikan pelawat hanya dapat melakukan satu percubaan dan Marko Arnatovic kemudian menambah satu lagi gol menerusi sepakan terakhir dalam perlawanan itu untuk Inter mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus sejak awal 2024.

Dengan kemenangan itu, Inter mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan himpunan 63 mata, lebih 10 mata berbanding pencabar terdekat, Juventus.