Inter Milan melebarkan pendahuluan di puncak Serie A kepada lima mata setelah Davide Frattesi menghadiahkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Verona di San Siro awal pagi tadi.

Inter kelihatan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri setelah jaringan awal Lautaro Martinez dipadamkan oleh Thomas Henry pada minit ke-74.

Namun, Frattesi menjaringkan gol pada minit ketiga masa kecederaan, di mana Verona mendakwa gol itu sepatutnya dibatalkan kerana kekasaran terhadap Alessandro Bastoni.

Darko Lazovic dari Verona kemudian dilayangkan kad merah kerana memprotes pengadil.

Dalam satu lagi perlawanan yang sama sengit di Frosinone, Monza mengakhiri rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dengan kemenangan 3-2 ke atas tuan rumah, di mana mereka bangkit dari ketinggalan untuk menjaringkan tiga gol tetapi Pierluigi Frattali kemudian dibuang padang pada minit ke-75.

Sementara itu, tiga kemenangan berturut-turut Fiorentina terhenti di Sassuolo, di mana gol pada minit kesembilan oleh Andrea Pinamonti cukup untuk menamatkan rentetan enam perlawanan liga tanpa kalah pasukan itu.

Cagliari pula kekal berada di zon penyingkiran walaupun usaha Gaetano Oristanio pada minit ke-68 menyelamatkan satu mata apabila mengikat keputusan 1-1 di dengan Lecce, yang terlebih awal mendahului menerusi gol pembukaan separuh masa pertama Valentin Gendrey.