Pengarah Sukan Borussia Monchengladbach, Max Eberl, memutuskan untuk mengundurkan diri atas faktor keletihan dan kelesuan.

Eberl telah menggalas tugas itu selama 13 tahun dan dalam sidang akhbar yang penuh beremosi malam tadi, dia menyatakan hasrat untuk mengosongkan jawatan berkenaan.

Bekas pertahanan Gladbach yang ditandangani sebagai pemain pada 1999 itu mendedahkan bahawa dia tidak lagi seronok untuk melaksanakan tugas berkenaan.

“Ini adalah sidang akhbar paling sukar yang saya perlu adakan sepanjang saya menjadi pengarah sukan di Borussia,” katanya.

"Saya letih. Saya lesu. Saya tidak lagi mempunyai tenaga untuk meneruskan peranan ini dengan cara yang sepatutnya buat kelab.

"Selepas 23 tahun (bersama Gladbach), saya mengambil masa untuk merenung semula apa yang telah dilalui. Tugas saya di sini sentiasa menggembirakan tetapi ada perkara dalam alam pekerjaan ini yang tidak menyeronokkan lagi."




Dia akan angkat kaki tatkala kelab Adi Hutter itu sedang tergelincir selepas sekadar mengutip empat mata daripada lapan perlawanan terakhir sementara bulan ini disingkirkan pasukan divisyen dua, Hannover, dalam DFB-Pokal.

Tetapi Eberl yang menyambung kontraknya pada tahun lalu menegaskan kedudukan pasukan itu tiada kaitan dengan keputusannya.

"Saya memahami sekiranya ada pihak yang mungkin mempersoalkan keputusan yang dibuat ini memandangkan kelab dalam situasi seperti ini," katanya.

“Tetapi saya tidak mempunyai kekuatan lagi untuk meneruskan kerja ini seperti sebelum ini.

"13 bulan lalu saya bersetuju untuk menyambung kontrak dan tidak pernah menyangka saya akan duduk di sini seperti hari ini. Saya seorang yang sentiasa mencurahkan 100 peratus usaha dalam segala hal yang dilakukan. Saya telah melaksanakan tugas sebagai pengarah sukan selama 13 tahun."

Bercakap mengenai rancangannya untuk kehidupan selepas bola sepak, dia menambah: "Saya hanya mahu menjadi Max Eberl. Saya mahu meneroka dunia dan fokus kepada diri sendiri.

"Saya belum memutuskan untuk ke kelab lain. Buat masa ini, saya tidak mahu dikaitkan dengan sebarang aktiviti bola sepak."