Pemain remaja Chelsea, Andrey Santos, kembali ke bekas kelabnya, Vasco da Gama, secara pinjaman.

Pemain tengah berusia 18 tahun itu akan kembali menetap di Brazil sehingga penghujung Jun depan.

Santos membantu Vasco layak ke divisyen utama tahun lalu sebelum menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £18 juta (RM96.45 juta) pada Januari lalu.

Walaupun membawa jangkaan tinggi, Santos tidak mendapat permit untuk bekerja di United Kingdom tetapi Chelsea dilaporkan yakin pemain itu akan dapat didaftarkan musim depan.

Palmeiras sebelum ini kelihatan akan menjadi pasukan pilihan buat pemain itu tetapi kesepakatan berkenaan tidak berlaku disebabkan tempoh pinjaman yang ditetapkan.

Terdapat laporan mendakwa Chelsea mahukan kembali khidmat Santos pada musim depan tetapi Palmeiras sebaliknya mahu menggunakan khidmatnya sehingga penamat kempen mereka dan ia bermakna, Santos hanya dapat kembali ke Stamford Bridge pada penghujung tahun ini.

Terdahulu, Santos mengetuai Brazil menjuarai Kejohanan B-20 Amerika Selatan bulan lalu, di mana dia menamatkan saingan itu selaku penjaring terbanyak dengan enam gol.