Cristiano Ronaldo menerima kecaman hebat gara-gara menunjukkan isyarat lucah selepas Al Naasr menewaskan Al Shabab 3-2 dalam perlawanan Liga Pro Saudi di Stadium Al Shabab awal pagi tadi.

Penyerang Portugal itu membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 tetapi Al Nassr memerlukan gol kemenangan lewat permainan daripada Talisca, yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu, untuk mengesahkan kemenangan.

Selepas tamat perlawanan itu, sebuah video yang tular di laman-laman sosial menunjukkan Ronaldo menekup telinganya sebelum berulang kali menunjukkan isyarat lucah ditujukan kepada penyokong Al Shabab, yang melaungkan nama Lionel Messi.

Insiden itu tidak dirakam kamera televisyen tetapi beberapa pakar Arab Saudi berkata Ronaldo harus dikenakan hukuman.

Tiada maklum balas rasmi tetapi akhbar Saudi Asharq Al-Awsat berkata persekutuan bola sepak kebangsaan (SAFF) telah membuka siasatan berhubung insiden itu.

Ronaldo, yang berusia 39 tahun, pernah menghadapi kritikan sama pada April tahun lalu apabila dia kelihatan mencengkam kemaluannya selepas tamat perlawanan liga menentang Al Hilal.

Awal bulan ini, dia mengambil selendang Al Hilal yang dilemparkan kepadanya dari tempat duduk penonton, memasukkannya ke dalam seluar pendeknya dan kemudian membuangnya ketika dia berjalan ke arah terowong selepas Al Nassr tewas 0-2 dalam perlawanan akhir Piala Musim Riyadh.