Begitulah kalau boleh saya terjemahkan sedikit antara laungan penyokong Al-Nassr, kelab keenam yang disertai Cristiano Ronaldo. Perpindahan pemain kelahiran Madeira, Portugal itu ke tanah arab sejak Januari lalu kelihatan semakin baik dan tindakan terbarunya mencerminkan keperibadiannya yang terpuji.

Reputasi gah dengan lebih 80% penalti yang diambil menghasilkan jaringan, Ronaldo boleh sahaja melanjutkan drama ketika terbaring selepas pertembungan dengan penjaga gol Persepolis untuk meraih simpati pengadil bagi memberikan kedudukan lebih selesa buat Al-Nassr yang hanya perlukan seri untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Pengadil dari China yang bertugas sebenarnya sudah pun menimbangkan untuk memberikan penalti kepada pemain berusia 38 tahun itu sebelum dia bangun dan menunjukkan isyarat jari yang membawa maksud tiada kekasaran dilakukan ke atasnya.

Rujukan yang dilakukan juga menyaksikan tiada sebarang terjahan berlaku dalam insiden itu dan ia bukan sahaja melegakan barisan pemain Persepolis, malah memberi gambaran tahap ketelusan yang dimiliki pemain dengan lima gelaran Ballon D’Or itu, yang pantas mendapat pujian ramai.



A gentleman’s game played by gentlemen.

Mungkin itu mesej yang mahu disampaikan Ronaldo dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Awwal, Riyyadh pada awal pagi tadi, seminggu selepas kemas kini senarai pemain paling banyak gol penalti dikeluarkan.

April lalu, laman International Federation of Football, History and Statistic (IFFHS) mengesahkan Ronaldo menjadi pemain pertama dalam sejarah yang melepasi 150 gol penalti, rekod yang menenggelamkan 100 gol penalti yang dicapai lagenda Belanda, Ronald Koeman, pada 1995 – dengan seteru utamanya dari Argentina, Lionel Messi, turut tersenarai dalam kedudukan Top 5 dengan 108 gol penalti.

Selepas lebih enam bulan, senarai itu kekal dipimpin Ronaldo dengan tambahan enam gol menjadikan jumlah keseluruhan 157 gol penalti dari 186 peluang yang diperoleh – memberi peningkatan kepada 84.4% conversion. Manakala Messi yang bersama kelab dari Major League Soccer (MLS), Inter Miami, hanya menambah satu gol penalti dari keseluruhan 140 peluang yang diperoleh – dan perbandingan ketara ini menimbulkan banyak pertikaian, terutama dari kumpulan ‘haters’ Ronaldo.



Unique inborn gift players.

Sebenarnya pemain seperti Ronaldo hanya membuatkan kita mentafsir penalti itu mudah. Pasti ayat seperti “alaaa penalti, boleh lah menang.” atau “aduhhh penalti pun tak masuk.” pernah kita lontarkan ketika menonton sesuatu perlawanan bola sepak – namun hakikatnya, pemain berkemahiran tinggi sekali pun belum tentu dapat menterjemah peluang itu kepada gol ketika berpuluh ribu pasang mata memberikan tumpuan dengan pelbagai harapan.

Sekiranya berhasil, ia pasti habuan latihan keras yang dilakukan saban waktu tetapi untuk melakukannya secara konsisten, ia memerlukan lebih daripada itu – mungkin dengan apa yang dilabel sebagai kebolehan semulajadi atau deria rasa keenam yang membantu mengawal tindakan yang dilakukan dalam situasi genting – membolehkan pemain ini dianggap sebagai aset penting.

Dalam konteks ini, Ronaldo yang sudah merekodkan 850 gol sepanjang kariernya di peringkat senior jelas merupakan aset penting buat Al-Nassr dan sudah pasti, kita akan terus menyaksikan pemain dengan kejayaan menjulang 34 trofi itu diberikan kepercayaan untuk mengambil sepakan penalti –peluang penalti yang benar-benar penalti, bukan lakonan, bukan atas tiket simpati, kerana Ronaldo adalah pemain yang berada pada kelas tersendiri.