Penyerang baru Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad, mendedahkan ketua jurulatih pasukan itu, Nafuzi Zain, sudah mendambakan khidmatnya sejak tahun lalu lagi.

Jurulatih itu juga menjadi faktor utama pemain berusia 28 tahun berkenaan kembali ke negeri kelahirannya secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).



Menerusi segmen Keluar-Masuk Liga M yang dibawakan oleh redONE dalam Nadi Arena sebentar tadi, Syafiq berkata: "Jurulatih Nafuzi dan pasukan ini memang mahukan saya sejak musim lalu.

"Sewaktu jurulatih Nafuzi menandatangani kontrak bersama Kedah, dia ada menghubungi saya untuk membawa saya balik ke sini.

"Itulah faktor utamanya kerana saya lihat taktikal jurulatih Nafuzi bersesuaian dengan corak permainan yang saya mahukan."

Selain itu, Syafiq turut berharap kepulangannya ke bumi Darul Aman dapat membantunya untuk kembali memikat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

"Saya harap kepulangan saya ke Kedah dapat kembali melonjakkan prestasi saya kerana kita tau pasukan kebangsaan ketika ini akan menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

"Saya harap dengan peningkatan prestasi itu akan membolehkan saya kembali menyarung jersi kebangsaan dan seterusnya dapat pergi lebih jauh," katanya.