Saint-Germain (PSG) melengkapkan proses menandatangani penyerang Reims, Hugo Ekitike, secara pinjaman sehingga penghujung musim 2022-23 dengan pilihan pembelian secara tetap.

Terdapat laporan bahawa, sekiranya pilihan pembelian itu digunakan, pasukan juara Ligue 1 itu perlu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak €35 juta (RM157.14 juta) untuk mengikat pemain berusia 20 tahun berkenaan.

Newcastle United sebelum ini turut dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Ekitike tetapi terdapat laporan mendakwa dia telah menolak tawaran kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Januari lalu.

Jurulatih Reims, Oscar Garcia, kemudian meredakan kegusaran dengan berkata Ekitike tidak akan meninggalkan kelab itu melainkan ada tawaran daripada Real Madrid atau Barcelona.

Bagaimanapun, PSG kini sah mendapatkan khidmat penyerang muda itu dalam usaha ketua jurulatih baru, Christope Galtier, mewujudkan sebuah skuad mantap yang mampu bersaing di peringkat domesik dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).