BURNLEY 1 CHELSEA 4

Mauricio Pochettino percaya Raheem Sterling mampu membuktikan Gareth Southgate adalah silap kerana meminggirkan namanya untuk panggilan skuad England selepas penyerang Chelsea itu menjadi inspirasi untuk bangkit membenam Burnley 4-1 di tempat lawan, malam tadi.


Beberapa hari selepas Southgate menggugurkan namanya sempena perlawanan antarabangsa minggu depan, Sterling meluahkan kekecewaannya ke atas bekas rakan sepasukannya di Manchester City, Vincent Kompany, dan Burnley dengan menjadi arkitek kepada kepada keempat-empat gol Chelsea serta turut memahatnya namanya dengan satu jaringan.

Sterling tidak lagi mewakili England sejak Piala Dunia tahun lalu dan walaupun kecergasan menyumbang kepada faktornya pada Mac selain meminta pengecualian pada Jun tahun ini demi memulihkan kecergasannya, Southgate kemudian tidak lagi menyenaraikannya dalam dua panggilan terakhir.

Begitupun, dia membuktikan tindakan Southgate adalah silap dengan menjadi duri dalam daging biarpun Burnley terlebih dahulu mendahului menerusi pemain remaja, Wilson Odobert.

Hantaran lintang Sterling terkena Ameen Al Dakhil untuk gol penyamaan sebelum dia memenangi sepakan penalti yang disempurnakan Cole Palmer untuk gol pertamanya di Chelsea pada awal separuh masa kedua.

Sterling kemudian mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-65 sebelum menghasilkan gerakan gol keempat yang disudahkan oleh Nicolas Jackson.

“Saya rasa pemain berpengalaman tahu dia perlu beraksi dan mahu mengingatkan jurulatih kebangsaan bahawa dia telah tersilap percaturan,” katanya.





“Hanya dengan persembahan dan jaringan barulah dia boleh membuktikan bahawa dia layak.

“Ia adalah satu persembahan yang hebat, barisan pemain berhak meraih kemenangan, jadi saya gembira mereka dapat memasuki rehat kebangsaan dengan perasaan berbeza.

“Kami perlu konsisten. Kami berdepan tentangan kerana mereka sebuah skuad yang sangat berbakat tetapi pada masa ini atas sebab berbeza, kami tidak dapat menggunakan potensi penuh. Tetapi saya fikir lambat-laun kami akan berada dalam kedudukan yang dihajati."