MIDDLESBROUGH 0 COVENTRY CITY 1

Gustavo Hamer menjaringkan gol tunggal untuk meletakkan Coventry City hanya selangkah melayakkan diri ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas menewaskan Middlesbrough 1-0 di Stadium Riverside awal pagi tadi, sekali gus layak ke final playoff Liga Kejuaraan.

Jaringan gemilang pemain kelahiran Brazil itu pada minit ke-57 memberikan kemenangan agregat 1-0 dalam perlawanan timbal balik penuh aksi berkenaan.

Pasukan bimbingan Mark Robin itu akan berdepan Luton bagi aksi final pada 27 Mei ini dalam usaha untuk kembali ke saingan divisyen utama England buat kali pertama sejak 2001.

Ia merupakan penamat hari yang cukup sempurna buat The Sky Blues tidak lama selepas pengurus mereka itu bersetuju untuk menandatangani kesepakatan baru selama empat tahun.

Bagaimanaun, nasib berbeza menimpa pengurus Middlesbrough, Michael Carrick, yang pasukannya akan terperangkap dalam liga divisyen kedua itu buat tahun ketujuh berturut-turut.