Stefano Pioli terbuka untuk menurunkan Olivier Giroud bersama-sama Zlatan Ibrahimovic musim ini selepas pemain Perancis itu membuka akaun bersama Milan dengan dua gol ke atas Cagliari.

Giroud membuka jaringan buat Milan dengan dua gol ketika beraksi di San Siro ketika membantu Milan merakamkan kemenangan 4-1 ke atas Cagliari.

Dengan dua gol yang terhasil dalam separuh masa pertama, Giroud menjadi pemain pertama meledak dua kali dalam aksi pertama di laman sendiri sejak Mario Balotelli pada Februari 2013.

Ibrahimovic menjadi sandaran Milan sejak kembali ke kelab Itali itu pada Januari 2020, tetapi peneyrang veteran itu ketika ini diketepikan ekoran masalah kecederaan lutut yang dialami Mei lalu.

Pioli berharap agar Ibrahimovic kembali beraksi selepas tamat rehat antarabangsa dalam masa dua minggu akan datang serta dia tidak menentang perubahan formasi untuk menurunkan pemain kebangsaan Sweden itu bersama Giroud.


"Saya sangat terbuka untuk semua situasi," kata ketua pelatih Milan, Pioli kepada DAZN. "Saya akan mengambilnya satu perlawanan pada satu masa untuk memilih barisan terbaik untuk perlawanan itu.

"Apabila kami memerlukan dua penyerang, saya tidak akan ragu-ragu untuk menurunkan mereka bersama. Saya hanya berharap agar semua orang kembali sihat."