BARCELONA 2 OSASUNA 0

Gol separuh masa kedua daripada Robert Lewandowski dan Lamine Yamal memastikan Barcelona bertemu Real Madrid dalam final Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Osasuna 2-0 di Stadium Al Awwal awal pagi tadi.

Penyerang Poland, Lewandowski, menemui sasaran sebelum sejam permainan dan Yamal kemudian menambah satu lagi gol dalam waktu kecederaan untuk memastikan kemenangan Barca dalam aksi separuh akhir berkenaan.

Mereka kini akan mencongak satu lagi aksi El Clasico menentang Madrid, yang menewaskan Atletico Madrid dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.

Seandainya dapat menewaskan seteru tradisi itu dalam aksi final di Riyadh hujung minggu ini, Barca akan menjulang gelaran Piala Super Sepanyol buat kali ke-15 sepanjang sejarah penyertaan mereka.