Jumlah permohonan yang diterima seharusnya menjadi kayu pengukur kepada kejayaan penganjuran Kejohanan Hoki Piala Mirnawan 2024 yang sudah melabuhkan tirai di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pengiktirafan daripada pasukan luar negara wajar dijadikan sebagai pertandingan melingkupi sebahagian kalendar tahunan hoki.

Penyertaan dari Australia, Jepun, India dan Afrika Selatan mewarnai kemeriahan kejohanan tersebut, malah kedatangan skuad tambahan seperti Austria, Korea Selatan dan Kanada turut menambah seri edisi kali ini.

Secara faktanya, Kejohanan Hoki Piala Mirnawan 2025 akan datang pasti menjanjikan kualiti permainan hoki moden serta pengalaman beraksi di peringkat kompetitif, sekali gus meningkatkan mutu skuad negara -- baik lelaki mahupun wanita.





"Ini adalah edisi yang ketiga di mana kami melihat perkembangan positif tatkala penambahan pasukan serta mempelbagai jemputan skuad luar negara.

"Edisi akan datang, lebih banyak pasukan memohon untuk menyertai kejohanan ini," kata legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

Malaysia Tigers berjaya membenam Korea Selatan untuk bergelar juara edisi kali ini.

"Pertama sekali, saya tidak percaya lebih-lebih lagi kami dibolosi terlebih dahulu pada separuh masa pertama. Kami tekad bangkit pada babak seterusnya selain kembali bersemangat untuk memenangi aksi akhir ini.

"Impian saya sudah pasti ingin mewakili negara. Saya harap dengan kejohanan ini saya dipilih menyertai skuad remaja serta mahu membawa Malaysia ke Sukan Olimpik," kata Aferull Syah.

"Mentaliti kami tidak berubah sebaliknya mahukan kemenangan selepas tewas di peringkat kumpulan, kami berjaya membalas dendam terhadap Korea Selatan," kata Muhammad Safwan.