Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, menyifatkan pasukannya akan turun tanpa tekanan bertemu Pahang dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Menurutnya, biarpun rekod pertemuan tidak berpihak kepada T-Team, itu bukan halangan pasukannya untuk mencuri slot ke suku akhir.

Dia juga menuntut anak-anak buahnya menunjukkan komitmen terbaik di atas padang selain tidak memberi jalan mudah kepada skuad Tok Gajah.

“Pemain-pemain tidak harus rasa terbeban. Malah, kami sudah ada perancangan serta menanti pihak lawan melakukan kesilapan.

“Pahang juga memerlukan kemenangan dan sudah tentu tuan rumah yang agak tertekan,” ujar Rahmad.

Ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu juga bersedia menurunkan kesebelasan utama yang disifatkannya semakin agresif dan ghairah selepas mengharungi prestasi tidak menentu sebelum ini.

Saingan Kumpulan A menyaksikan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah mengesahkan tempat selaku juara kumpulan.

Ruang masih terbuka buat Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan untuk merebut satu lagi tiket ke kelompok lapan pasukan terbaik Piala Malaysia 2017.