Juara Piala FA dua kali bersama Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safee Sali, tertarik dengan pencapaian yang dilakar Malaysian University yang menyingkirkan PDRM dalam saingan pusingan 16.

Kejayaan itu secara tidak langsung menjadi petanda kualiti pemain yang berada dalam saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship ketika ini.

"Mengatasi PDRM membuktikan mereka memiliki kesungguhan ketika berdepan pasukan Liga Super, ia membuktikan mereka adalah pasukan yang perlu dipantau," katanya.

Menjelang sepak mula Liga Super hujung minggu ini -- bekas mesin pencetak gol Harimau Malaya itu berasakan, dominasi JDT bakal berdepan halangan terbesar musim ini.

Secara peribadi, Safee sudah mula mengesan impak penstrukturan lambakan pemain Harimau Selatan yang menyaksikan pemain ternama seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba berhijrah.

"Bertemu Sri Pahang adalah ujian sebenar buat JDT. Mereka bakal berdepan tugas sukar, mereka masih mencari rentak terbaik ketika ini."