WEST HAM 3 ARSENAL 1

Mikel Arteta memikul tanggungjawab atas kekalahan menyakitkan 1-3 Arsenal dalam Piala Liga Inggeris (EFL) di West Ham, awal pagi tadi.


Arteta membuat enam pertukaran dalam barisan utamanya untuk pertembungan pusingan keempat itu dengan memulakan Declan Rice dari bangku simpanan dalam kepulangannya ke Hammers.

Rice, yang menjulang trofi Liga Persidangan Europa sebagai kapten West Ham musim lalu, kembali ke kelab lamanya buat kali pertama sejak perpindahan bernilai £105 juta (RM608.2j) untuk menyertai The Gunners.

Tetapi dia sudah pasti tidak akan mendakap Piala EFL musim ini selepas jaringan Mohammed Kudus dan Jarrod Bowen menambah luka pelawat yang sudah ketinggalan melalui jaringan sendiri oleh Ben White sebelum Martin Odegaard meledak gol sagu hati dalam masa kecederaan, sekali gus menyebabkan pasukan London utara itu tersingkir.

“Saya sangat kecewa,” kata pengurus itu.





“Saya berbertanggungjawab atas kekalahan ini. Kami tersingkir daripada perebutan piala, kami menerapkan pendekatan yang sangat berbeza dan bersaing.

“Corak permainan ini telah menghasilkan gol pertama tetapi pemain perlu berusaha lebih keras lagi demi menang.

“Saya kecewa dengan diri sendiri. Kami mahu memperagakan corak permainan berbeza dan kami gagal melakukannya. Setiap kali kita tewas sakit itu terasa.

“Kami perlu menggunakan keperitan ini dan kekalahan ini untuk membuat persiapan terbaik bagi menghadapi Newcastle Sabtu ini (awal pagi Ahad).”